
Pantai Senok yang terletak di Tawang, Bachok Kelantan tiba-tiba menjadi begitu popular. Ia mula dikenali dan dikagumi. Betapa ramainya yang berkunjung ke pantai ini, hingga ia menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya di kawasan sekitar pantai tersebut. Inilah kehebatan media sosial atau lebih tepat lagi kuasa viral.
Sebenarnya sebelum ini, iaitu sejak beberapa tahun yang lepas, Pantai Senok telah menjadi lokasi utama untuk sesi fotografi perkahwinan. Jika berkunjung pada hari minggu, terutamanya ketika musim persekolahan, puluhan pasangan pengantin baru akan memenuhi pantai ini untuk sesi fotografi sebgai kenangan sepanjang hayat.
Namun, pada waktu itu ia belum lagi diviralkan di media sosial, dan hanya menjadi tumpuan para jurufoto dan pasangan pengantin. Selain deretan pokok ru di sepanjang pantai, pengunjung juga dapat menikmati keindahan laut yang membiru.
Pulau Nami Malaysia, itulah tajuk yang disiarkan di dalam akhbar Harian Metro bertarikh 15.Febuari.2014. Sebenarnya jolokan tersebut telah tersebar di laman sosial, ia dianggap sebagai Pulau Nami Malaysia kerana ramai pengunjung yang memuat naik gambar keindahan deretan pokok ru di Pantai Senok yang tidak ubah seperti di Pulau Nami, Korea Selatan.
Secara peribadi saya pernah berkunjung ke Pulau Nami di Korea Selatan pada penghujung tahun 2013. Kunjungan pada musim sejuk, di mana pulau yang terkenal dengan drama Winter Sonata itu diselimuti salji.
Berdasarkan pengalaman ke Pulau Nami,secara peribadi berani saya katakan Pantai Senok memang layak untuk dianggap sebagai Pulau Nami Malaysia. Cuma bezanya, di sana ada empat musim di mana para pelancong dapat menikmati suasana pada musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Tetapi di Pantai Senok pula pengunjung hanya dapat menikmati panorama dan pemandangan pada musim yang sama sahaja.
Sebenarnya pokok-pokok ru di Pantai Senok ini ditanam oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan agensi kerajaan dalam usaha untuk mengalakkan penjagaan alam sekitar sejak lebih lima tahun dahulu.
Kini pokok-pokok ru tersebut mula membesar menjadi semakin matang, sekali gus mengindahkan kawasan Pantai Senok hingga menjadi sebahagian tarikan pelancong di Kelantan.
